Friday, February 8, 2013

Wasiat Untuk Ali R.A

Wahai Ali,
bagi orang mukmin itu ada tiga tanda iaitu,
tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia,
tidak terpesona dengan pujuk rayu,
benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia.

Wahai Ali,

bagi orang alim itu ada tiga tanda iaitu,
jujur dalam berkata-kata,
menjauhi segala yang haram,
merendahkan diri.

Wahai Ali,

bagi orang yang jujur itu ada tiga tanda iaitu,
merahsiakan ibadahnya,
merahsiakan sedekahnya,
merahsiakan ujian yang menimpanya.

Wahai Ali,

bagi orang yang bertakwa itu ada tiga tanda iaitu,
takut berlaku dusta dan keji,
menjauhi kejahatan,
memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bagi ahli ibadah itu ada tiga tanda iaitu,

mengawasinya dirinya,
menghisab dirinya,
memperbanyakkan ibadah kepada Allah swt.

Wahai Ali,

takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (bilik mandi) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang sesiapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang maka dia akan mendapat laknat (mal'un).

Wahai Ali,

janganlah engkau memakai cincin pada jari telunjuk dan tengah. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.

Wahai Ali,

sesungguhnya Allah mengagumi hambaNya yang melafazkan istighfar.

Allah berfirman;

"Hai malaikatKu, sesungguhnya hambaKu ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Aku. Hai malaikatKu, jadilah saksi bahawasanya aku telah mengampunkan dia."
Wahai Ali,
takutlah kau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan diletakkan oleh Allah sebagai pendusta dan bahawasanya yang benar itu memutihkan muka dan diletakkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawa benar itu berkat dan dusta itu celaka.

Wahai Ali,

peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu domba. Bahawasanya orang yang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.

Wahai Ali,

janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan namaNya.

Wahai Ali,

janganlah engkau bercita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.

Wahai Ali,

takutilah engkau dari membantah dan berkelahi dengan memaki hamun dan bersumpah seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.

Wahai Ali,

sentiasalah engkau bersugi dan mencungkil gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah. Menyucikan gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan pada celah gigi tidak dicungkil selepas makan.

Wahai Ali,

janganlah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan serta kesabaran Allah ke atas hambaNya. Pertahankanlah diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.

Wahai Ali,

perhitungkanlah kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah.

Wahai Ali,

apa yang kau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang kau kasih pada diri engkau maka kasihkan juga pada diri saudara engkau. Hendaklah engkau berlaku adil dalam setiap hukuman. Maka dengan demikian engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.

Wahai Ali,

elokkan perhubungan antara masyarakat jiran sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya diletakkan darjat yang tinggi bagi engkau.

Wahai Ali,

peliharalah pesanan dan wasiatku. Inshaa Allah engkau akan mendapat kemenangan dan kelepasan.

Ini adalah wasiat-wasiat yang telah ditinggalkan baginda Rasulullah saw kepada menantunya iaitu Ali bin Abu Talib yang boleh kita ambil ikhtibar sebagai panduan hidup kita juga.

..WALLAHUALAM..

p/s: dipetik daripada buku "Biografi Agung Rasulullah SAW" oleh Rusydi Ramli Al-Jauhari keluaran Mustread Sdn Bhd. cetakan 2012.


Tuesday, January 29, 2013

Lafaz Niat Dan Niat

Assalamualaikum wtb... Hai rakan-rakan bloggers yang masih lagi membaca blog aku ni. Lama rasanya tak meluahkan kata-kata hati ke jari-jemari ni dekat sini. Rasanya dah hampir sebulan lebih kot. kesibukan yang keterlaluan dan tiada masa untuk meluangkan masa meluahkan idea-idea atau memerah otak untuk mencari ilham-ilham menceritakan perihal-perihal hati atau tidak kepuasan hati atau mungkin ilmu-ilmu yang berguna dihadapan binatang yang bernama komputer riba ini.

Ok panjang sangat mukadimahnya tu. Kali ni nak share dengan korang benda yang dah lama aku nak share. Iaitu tentang rukun solat yang pertama iaitu niat. Masih ramai aku rasa yang salah faham tentang rukun solat yang pertama ni. Kenapa aku nak cerita pasal rukun solat yang pertama ni ye? Sebab ianya sangat penting. Rukun solat jika salah satunya tertinggal maka tidak sah la solat kita keseluruhannya. Ok, dah lama aku perhati pakcik-pakcik bila aku bersolat jemaah di masjid kebanyakkannya atau mungkin sesetengahnya akan menitik beratkan lafaz niat dengan niat yakni yang mana lafaz niat dibaca sebelum takbiratul ihram dan niat dibaca dalam hati sewaktu mengangkat tangan (angkat takbir). Lafaz niat dibaca dengan kuat sehingga mengganggu jemaah disebelah manakala niat juga punca mengangkat takbir berulang kali. Juga mengganggu jemaah disebelah.

Yang menjadi persoalannya disini, kenapa perlu mengangkat takbir berulang kali? Ini disebabkan niat di dalam hati tidak dibaca dengan betul. Betul? Ye, sebab aku dulu pun macam tu. Aku akan angkat takbir berulang kali atau lama untuk memberi tempoh untuk aku niat dalam hati. Aku rasa perkara ini harus diperbetulkan.

Salah faham atau kekeliruan ini mungkin disebabkan pendidikan yang kita dapat sewaktu di bangku sekolah tentang dua perkara ini iaitu 'NIAT' dengan 'LAFAZ NIAT'. Masa aku sekolah rendah dulu, ustaz atau ustazah gigih mengajar kami lafaz niat (dalam bahasa arab) untuk solat, lafaz niat untuk berpuasa dan lain-lain. Dalam pada masa yang sama mereka juga mengajar kami niat di dalam hati. Iaitu lafaz niat harus diucap dalam bahasa arab dan niat bahasa melayu di dalam hati. Ini berlaku ketika pembelajaran subjek ibadah (bagi yang bersekolah agama). Perkara ini menyebabkan hal-hal di atas berlaku dan ada jugak yang tidak bersolat sebab mereka tidak tahu lafaz niat untuk melakukan solat tersebut. Perkara ini seperti menjadi kebiasaan atau mentaliti masyarakat kita. Masa aku sekolah dulu kawan-kawan akan tanya, "Kau dah solat asar ke?" "Dah." "Tipu!!" "Betullah!! Aku dah solat tadi." "Hah, kalau betul kau dah solat asar, apa niat solat asar?" "Errr... usolli..emm.." "Hah, tak tau. Tak solat la tu.". Biasa terjadi perkara ni waktu kecil atau mungkin sekarang ni pun masih berlaku lagi?

Ok mari kita perbetulkan apa yang dah salah dekat sini. First, kita kena tengok apa makna niat. Niat itu adalah lintasan hati. Contohnya macam korang niat nak membunuh tu, korang tak perlu nak lafazkan "Sahaja aku nak membunuh seseorang." sampai macam tu. Korang terus membunuh kan? Betul? Sebab korang mempunyai niat. Begitu jugak di dalam solat atau perkara lainnya. Tidak kisah la bagaimana lafaz niat korang sekali pun untuk melakukan solat tu asalkan korang tau berapa rakaat yang perlu dilakukan, solat apa yang hendak dilakukan. Solat korang masih sah dan korang boleh terus melakukan solat. Tidak perlu nak mengangkat takbir berulang kali sebab nak betul-betul mahu menyebut niat dalam hati tu. Kalau berulang kali mengangkat takbir itu berulang kali kan mengganggu jemaah lain sekiranya kita sedang bersolat jemaah. Kalau sorang-sorang kita solat pun kan dah menimbulkan was-was di dalam solat nanti.

Begitu jugalah tentang perkara-perkara lain yang ada kaitan dengan niat di dalam rukun melakukannya seperti berpuasa, melakukan solat sunat dan lain-lain. Harap perkara ini dapat disebarkan kepada rakan-rakan yang masih belum mengetahui tentang perkara ini. Islam itu mudah.. In shaa Allah.

..WALLAHUALAM..