Friday, February 8, 2013

Wasiat Untuk Ali R.A

Wahai Ali,
bagi orang mukmin itu ada tiga tanda iaitu,
tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia,
tidak terpesona dengan pujuk rayu,
benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia.

Wahai Ali,

bagi orang alim itu ada tiga tanda iaitu,
jujur dalam berkata-kata,
menjauhi segala yang haram,
merendahkan diri.

Wahai Ali,

bagi orang yang jujur itu ada tiga tanda iaitu,
merahsiakan ibadahnya,
merahsiakan sedekahnya,
merahsiakan ujian yang menimpanya.

Wahai Ali,

bagi orang yang bertakwa itu ada tiga tanda iaitu,
takut berlaku dusta dan keji,
menjauhi kejahatan,
memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bagi ahli ibadah itu ada tiga tanda iaitu,

mengawasinya dirinya,
menghisab dirinya,
memperbanyakkan ibadah kepada Allah swt.

Wahai Ali,

takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (bilik mandi) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang sesiapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang maka dia akan mendapat laknat (mal'un).

Wahai Ali,

janganlah engkau memakai cincin pada jari telunjuk dan tengah. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.

Wahai Ali,

sesungguhnya Allah mengagumi hambaNya yang melafazkan istighfar.

Allah berfirman;

"Hai malaikatKu, sesungguhnya hambaKu ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Aku. Hai malaikatKu, jadilah saksi bahawasanya aku telah mengampunkan dia."
Wahai Ali,
takutlah kau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan diletakkan oleh Allah sebagai pendusta dan bahawasanya yang benar itu memutihkan muka dan diletakkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawa benar itu berkat dan dusta itu celaka.

Wahai Ali,

peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu domba. Bahawasanya orang yang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.

Wahai Ali,

janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan namaNya.

Wahai Ali,

janganlah engkau bercita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.

Wahai Ali,

takutilah engkau dari membantah dan berkelahi dengan memaki hamun dan bersumpah seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.

Wahai Ali,

sentiasalah engkau bersugi dan mencungkil gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah. Menyucikan gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan pada celah gigi tidak dicungkil selepas makan.

Wahai Ali,

janganlah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan serta kesabaran Allah ke atas hambaNya. Pertahankanlah diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.

Wahai Ali,

perhitungkanlah kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah.

Wahai Ali,

apa yang kau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang kau kasih pada diri engkau maka kasihkan juga pada diri saudara engkau. Hendaklah engkau berlaku adil dalam setiap hukuman. Maka dengan demikian engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.

Wahai Ali,

elokkan perhubungan antara masyarakat jiran sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya diletakkan darjat yang tinggi bagi engkau.

Wahai Ali,

peliharalah pesanan dan wasiatku. Inshaa Allah engkau akan mendapat kemenangan dan kelepasan.

Ini adalah wasiat-wasiat yang telah ditinggalkan baginda Rasulullah saw kepada menantunya iaitu Ali bin Abu Talib yang boleh kita ambil ikhtibar sebagai panduan hidup kita juga.

..WALLAHUALAM..

p/s: dipetik daripada buku "Biografi Agung Rasulullah SAW" oleh Rusydi Ramli Al-Jauhari keluaran Mustread Sdn Bhd. cetakan 2012.


No comments:

Post a Comment